MAJLIS HUBBUL QURAN PERINGKAT IPDAS KAMPUS KUDAT

26 Mac 2025

MAJLIS HUBBUL QURAN PERINGKAT IPDAS KAMPUS KUDAT

25 Mac 2025/ Selasa

Oleh: IPDAS Kampus Kudat

Kudat – Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kampus Kudat telah berjaya melaksanakan Majlis Hubbul Quran bersempena dengan Program Khatam al-Quran dan Iftar Jama’i. Program ini diadakan dengan tujuan untuk memupuk rasa kecintaan terhadap al-Quran dan meningkatkan amal ibadah di bulan Ramadan. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Verdon bin Bahanda, Ahli Parlimen P.167 Kudat. Kehadiran beliau disambut baik oleh warga IPDAS Kampus Kudat dan telah dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai dan Kakitangan IPDAS Kampus Kudat dan masyarakat setempat.

Pembukaan majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Norhikmah binti Masir, selaku Pengetua IPDAS Kampus Kudat. Dalam ucapan tersebut, Puan Pengetua mengalu-alukan dan terima kasih atas kehadiran Ahli Parlimen P.167 Kudat, yang merupakan tetamu kehormat pada majlis kali ini. Beliau juga menyatakan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh semua tetamu jemputan atas kesudian menghadiri majlis ini.

YB Dato' Verdon bin Bahanda, Ahli Parlimen P.167 Kudat, tidak terlepas daripada mengambil kesempatan untuk memberikan ucapan perasmian yang penuh bermakna. Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyampaikan kata-kata motivasi dan nasihat yang berharga kepada pelajar IPDAS Kampus Kudat, agar terus berusaha gigih dalam mencapai kecemerlangan akademik. Selain itu, beliau turut memberikan amanat yang sangat penting kepada para pelajar untuk terus mengharungi cabaran dengan semangat juang yang tinggi.

Dalam program ini juga, majlis khatam al-Quran telah dilaksanakan melibatkan seramai 20 orang pelajar SAPIM dengan penuh kesungguhan menghabiskan bacaan al-Quran masing-masing. Selain itu, majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan sesi Bicara Eksklusif Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ariffin bin Surdi Roslan, Penolong Pengarah Seksyen Akademik yang membawa tajuk “Kelebihan Beribadah Pada Malam Al-Qadar”. Semoga bicara ekslusif ini dapat memberi pengajaran yang mendalam mengenai kepentingan malam yang penuh dengan rahmat dan keberkatan tersebut, sekaligus mengajak semua yang hadir untuk mempertingkatkan ibadah mereka dalam bulan yang mulia ini.


 01 July 2025  UKK IPDAS  0 hits