LAWATAN DI IPDAS KAMPUS KUDAT

05 September 2024

Kudat - IPDAS Kampus Kudat telah menerima rombongan lawatan dari Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Bahagian Kewangan JAKIM dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada hari kelmarin, 4 September 2024 (Rabu).

Rombongan lawatan diketuai oleh YBhg. Puan Inu Baizura binti Mohamad Zain, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri bersama beberapa pegawai.

YBrs. Puan Hajah Khatijah binti Abd. Rahman, Pengarah IPDAS telah menyambut ketibaan rombongan seterusnya menyantuni sehingga lawatan berakhir.

Turut hadir menyantuni rombongan adalah YBrs. Puan Norhikmah binti Masir, Pengetua IPDAS Kampus Kudat, barisan pegawai IPDAS Keningau, barisan Penolong Pengetua serta beberapa staf IPDAS Kampus Kudat.

Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah bagi melihat dan menilai keperluan mendesak yang perlu segera diambil tindakan di IPDAS Kampus Kudat, khususnya yang berkait dengan fasiliti serta prasarana dalam kompleks ini bagi menjamin keberkesanan penyampaian perkhidmatan yang kondusif.

Pihak IPDAS Kampus Kudat merasa sukacita atas lawatan ini dan berharap agar setiap permohonan yang dikemukakan akan mendapat pertimbangan sewajarnya.

Sehubungan dengan itu, pihak IPDAS Kampus Kudat ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak rombongan atas kesudian hadir ke kompleks ini dan tidak dilupakan kepada YBrs. Pengarah IPDAS serta semua yang terlibat menjayakan lawatan ini.

Semoga lawatan ini akan menatijahkan perkembangan yang positif kepada IPDAS Kampus Kudat.

ADMIN


 11 September 2024  UKK IPDAS  0 hits