BULAN KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI DAN SPIRITUAL INSTITUT PENGAJIAN ISLAM DAN DAKWAH SABAH (IPDAS)
IPDAS, KENINGAU: Bulan Kaunseling Kebangsaan (BKK) disambut sepanjang bulan Oktober di negara ini dengan tujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai perkhidmatan kaunseling profesional sebagai salah satu sistem sokongan yang penting dalam membina kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) : “Kementerian amat komited dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling profesional amat komited dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling profesional (petikan sumber daripada Utusan Borneo bertarikh 1 Oktober 2020).
Maka bersempena dengan sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) mengambil inisiatif untuk melaksanakan program Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual (BKPS) sebagai tanda sokongan penuh IPDAS terhadap perkhidmatan kaunseling profesionalisme di negara ini.
Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual (BKPS) 2021 akan disambut sepanjang bulan Oktober ini secara maya dengan menawarkan beberapa program yang menarik seperti Webinar Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual (BKPS), Minggu Penilaian Kaunseling, Tele-Kaunseling We Love We Care, Kit We Love We Care, Liga Forum PPT JAKIM, Pertandingan Video Pendek, dan Malam Puisi Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual (BKPS). Program ini turut melibatkan kerjasama daripada pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA), Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA), dan Persatuan Kaunseling Syar’ie Malaysia (PAKSI). Antara tarikan program ini semestinya penampilan 18 orang pakar bidang kaunseling di negara yang akan menyampaikan slot ceramah dalam Webinar Bengkel Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual (BKPS).
Kesejahteraan psikologi dan spiritual amat penting, kerana perkara ini akan mempengaruhi aktiviti seharian dan emosi seorang individu dan juga peranannya sebagai hamba Allah. Kesejahteraan psikologi merujuk kepada pengalaman dan kefungsian psikologi yang optimum. Pengukuran kesejahteraan psikologi tidak hanya terdiri daripada perasaan positif, perasaan negatif dan kepuasan hidup tetapi kesejahteraan disusun sebagai suatu pemboleh ubah multi dimensi yang merangkumi 6 dimensi iaitu autonomi, menguasai persekitaran, perkembangan peribadi, hubungan positif dengan orang lain, matlamat hidup dan penerimaan kendiri. Bahkan kesejahteraan psikologi membawa maksud kemampuan individu untuk menangani stres, mengelakkan konflik, meningkatkan ketenangan, merangsang motivasi dan meningkatkan keyakinan diri dalam kehidupan.
Manakala kesejahteraan dari sudut spiritual merujuk kepada keutuhan rohani yang berhubung kait dengan hubungan manusia dan Tuhan. Semakin dekat kedudukan seseorang dengan Tuhannya, maka semakin tenang dan sejahtera emosi, tingkah laku dan pemikiran seseorang individu. Maka untuk mencapai tahap serta kedudukan ini, sudah pasti memerlukan kaedah dan metod yang lebih bersifat keagamaan.
Kadang-kadang seseorang insan tidak menemui jalan keluar untuk menyelesaikan emosi diri yang berkecamuk dan tidak terkawal. Oleh itu, perkhidmatan kaunseling amat diperlukan untuk membantu meleraikan kebuntuan yang dialami oleh individu. Hal ini kerana perkhidmatan kaunseling merupakan satu proses menolong individu mencapai celik akal, tingkahlaku adaptif dan berfikiran rasional bagi memudahkan individu bertindak balas terhadap persekitaran dengan lebih baik.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk bersama-sama turut serta dalam setiap program Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan pada tahun ini. Sijil penyertaan turut disediakan untuk semua peserta.
Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan, maklumat lanjut mengenai aktiviti sepanjang program Bulan Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual boleh didapati di laman sosial IPDAS seperti :