Keningau - Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) melalui Jabatan Akidah Cawangan Akademik telah menganjurkan Taqwiyatul Akidah : Konsep Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Cabaran Akidah Masa Kini yang melibatkan para mahasiswa IPDAS Semster 1 Diploma Dakwah Islamiah dan Diploma Dakwah Kontemporari serta semester 2 Sijil Pengajian Islam, bertempat di Dewan Tun Sakaran pada 5 Julai 2025.
Tujuan program ini adalah untuk memberikan kefahaman kepada pelajar berkaitan Konsep dan tokoh-tokoh Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ajaran - ajaran sesat semasa serta Cabaran - Cabaran Menghadapi Ajaran sesat yang berlaku di Malaysia. Di samping itu juga, program ini dilaksanakan untuk memenuhi Sasaran Kerja Strategik JAKIM bersama IPDAS iaitu di dalam Teras 4 (Dakwah dan Pembangunan Insan : Memantapkan kefahaman dan Penghayatan Islam Secara Inklusif bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak) di bawah strategi kedua iaitu memantapkan pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta cara hidup berdasarkan syariah dan akhlak Islam.
Program ini telah disampaikan oleh panel
jemputan Ustaz Rani Bin Abdul Rahman (Pegawai Dakwah, Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan dirasmikan oleh Ustazah Hajah Khatijah Binti Abd Rahman, Pengarah IPDAS. Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Cawangan Akademik, Ustazah Norhikmah binti Masir.