Kota Kinabalu – Institut Pengajian Islam Dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kampus Kudat, melalui Unit Pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Seksyen Akademik, telah menganjurkan Kursus Pendekatan Dakwah Kepada Masyarakat Orang Asli pada 13 dan 14 Ogos 2025 bertempat di Bilik Kuliah Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Kursus selama dua hari ini menampilkan dua penceramah jemputan, iaitu Ustaz Mohamed Mahadhir bin Mohamed Zabidin, Penggerak Masyarakat Orang Asli Daerah Raub, Pahang dan Ustaz Faizul Raman bin Samah, Penggerak Masyarakat Orang Asli Daerah Cameron Highlands, Pahang.
Penganjuran kursus ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Dakwah Islam Tahap Tiga yang ditawarkan oleh IPDAS Kampus Kudat. Sebagai rekod, seramai 19 orang perantis sedang mengikuti latihan bagi Unit Kompetensi 4 – Pelaksanaan Dakwah Kepada Orang Asli yang berlangsung dari 1 Julai hingga 30 Ogos 2025.
Turut hadir dalam kursus ini ialah tiga orang trainer, empat orang coach, serta seorang penyelaras program SKM Dakwah Islam Tahap Tiga IPDAS Kampus Kudat. Antara topik yang dibincangkan merangkumi Pengenalan Dakwah Orang Asli, Psikologi dan Pendekatan Hikmah dalam Dakwah, Cabaran Dakwah kepada Masyarakat Orang Asli, Hormati Budaya Orang Asli, Isu Sensitif dan Pantang Larang, serta Komunikasi Berkesan dalam Dakwah Orang Asli.
Pihak IPDAS merakamkan penghargaan kepada kedua-dua penceramah jemputan atas perkongsian ilmu dan pengalaman yang berharga. Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada Jawatankuasa Masjid Negeri Sabah atas penyediaan tempat dan fasiliti yang membantu kelancaran program tersebut.